Tuesday, March 11, 2008

Semangat pengundi celik


Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

ISYARAT jelas yang disampaikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 kali ini sememangnya memerlukan satu bedah siasat yang terperinci daripada parti Barisan Nasional (BN). Meskipun beberapa sentimen penolakan rakyat terutamanya di beberapa negeri sudah dapat dibaca oleh pemimpin di kalangan BN sendiri, namun untuk tumbang dengan kekalahan seperti yang berlaku adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan mengejutkan.Melihat perubahan dalam corak sokongan rakyat kali ini, beberapa penganalisis politik tempatan merumuskan, faktor ‘muda’ dan ‘wajah baru’ turut meningkatkan graf penolakan rakyat di sebalik beberapa isu utama lain terutamanya isu sosial.Menurut mereka, meskipun golongan muda hanya kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi, namun dengan membayangkan gelombang jiwa dan semangat baru golongan ini yang mengharapkan satu bentuk perubahan, ia sudah memadai untuk menafikan majoriti besar buat BN.
Faktor calon muda dengan aspirasi perubahan yang tinggi turut memberi kelebihan kepada parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila ia dilihat menjadi penentu utama kepada sokongan rakyat.
Malangnya, BN walaupun turut membariskan ramai calon muda sama ada daripada sayap parti seperti Pemuda dan Puteri UMNO, bagaimanapun tidak berupaya menangkis pelbagai isu semasa yang menuntut penjelasan daripada rakyat keseluruhannya.Bagi Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Islam
Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Fatimah Daud, latar belakang pendidikan yang tinggi termasuk ramai yang merupakan lulusan universiti luar negara merubah corak undian di kalangan pengundi muda.Katanya, pengundi cerdik pandai dan terpelajar ini tidak lagi menerima dengan mudah segala apa yang berlaku di sekeliling mereka sebaliknya semakin bijak dalam membuat penilaian.‘‘Ini bukan lagi zaman di mana pengundi sangat taksub kepada satu-satu parti sebaliknya rakyat terutamanya pengundi muda semakin berfikiran terbuka dan kritis dalam menetapkan pendirian mereka,” katanya.Tambah Fatimah, pengundi muda yang kebanyakannya menetap di bandar-bandar besar turut mempengaruhi pola undian di kawasan itu sehingga berjaya mendorong kepada peningkatan sokongan kepada parti pembangkang.Penduduk di bandar katanya, lebih berpandangan luas dalam membuat penilaian serta berkuasa menentukan pilihan sendiri dalam pentadbiran dan ia dibuktikan di Pulau Pinang, Selangor dan Perak yang kini ditawan pembangkang.
Sementara itu, Presiden Akademi Pembangunan Intelektual Moden (Minda) Datuk Mohd. Nor Ali pula berkata, pengundi muda dalam pilihan raya kali ini benar-benar menterjemah kuasa undi mereka sehingga menjadi faktor utama kepada perubahan besar di kebanyakan kerusi yang dipertandingkan.Jelas beliau, golongan itu kini memperlihatkan kematangan yang tinggi dan tidak lagi boleh ditakut-takutkan dengan isu dan masalah yang remeh sebaliknya bangkit mempersoalkan dan menunjukkan penentangan mereka.‘‘Kehidupan dalam dunia yang moden hari ini juga memberikan kelebihan kepada keterbukaan pemikiran dan penilaian orang muda yang bersuara dan mendapatkan maklumat menerusi media alternatif seperti Internet dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS),” ujarnya.Mohd. Nor menambah, pengundi muda kini juga tidak lagi memberikan sokongan berdasarkan parti semata-mata sebaliknya memperluaskan penilaian dan ukuran mereka kepada wibawa calon yang bertanding.Golongan itu juga katanya, semakin bersifat selektif dalam penilaian calon wakil rakyat mereka termasuk memilih individu yang bersih, mudah dipercayai dan dilihat berkeupayaan menyampaikan kehendak dan suara mereka.Turut mengakui kuasa pengundi muda melonjakkan perubahan sokongan dalam pilihan raya kali ini, pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berkata, trend itu sangat ketara di bandar-bandar besar.Namun apa yang memeranjatkannya, pola undian tersebut turut merebak di kalangan pengundi di luar bandar terutamanya di Kedah.‘‘Ini menimbulkan persoalan adakah pengundi konvensional dan tradisi di luar bandar sudah berubah hati kerana jika diperhatikan pengundi yang berpaling sokongan misalnya di Kedah melangkaui sehingga 60 peratus.
Ia juga sebenarnya merupakan ketidakseimbangan dalam amalan mengundi sebelum ini yang mana rakyat selalunya lebih memihak kepada parti,” katanya.Anjakan paradigma pengundi muda itu juga tambah Sivamurugan, banyak dipengaruhi oleh perkembangan teknologi moden hari ini terutamanya Internet dan SMS selain penglibatan golongan terpelajar dalam arena politik tempatan.Ketika ditanya adakah trend pengundian ini akan menjadi amalan dalam pilihan raya akan datang, beliau bagaimanapun menjangkakan ia tidak akan berkekalan kerana sentimen undian ketika ini lebih kepada luahan rasa dan protes rakyat kepada BN.Bentuk sokongan sebegitu jelasnya, boleh berubah pada pilihan raya akan datang sekiranya BN berjaya menilai dan mencari penyelesaian terhadap faktor penolakan rakyat seterusnya mengembalikan semula sokongan kepada parti berkenaan.

No comments: